1 June 2009

 

“Assalamualaikum. InsyaAllah saya akan berangkat menunaikan umrah malam ni. Mohon ampun dan maaf atas segala kesilapan saya selama ini. Doakan keselamatan pergi-balik dan mendapat umrah yang mabrur- azizah/gee”

 

Sejurus selepas menerima sms ni, otak saya beri tindakan refleks  untuk terus tekan punat ‘call’ pada hp. Perasaan sebak tiba-tiba memenuhi ruang hati.  Sambil menunggu Kak Gee menyambut panggilan, pengalaman saya semasa berumrah dulu flashback dalam ingatan seperti fast-forwarded record player. Tiba-tiba saya menjadi rindu sangat untuk pergi kembali menjejak bumi Allah yang barakah itu….saya terasa sayu seperti orang yang ditinggalkan belakang. Perbualan saya dengan Kak Gee pada petang tu buat saya bertambah rindu untuk pergi ke sana. Alhamdulillah, Allah menjemput Kak gee pula kesana sebagai tetamuNya.

 

15 Jun 2009

 

Sebenarnya, saya asyik teringat Kak Gee. Kak Gee sudah tiba di Madinah? Kak Gee buat apa dalam Mesjid Nabawi? Kak Gee dah sampai Mekah? Apa perasaan Kak Gee melihat Ka’bah kali pertama? Barangkali saya asyik teringat Kak Gee kerana Kak Gee pergi ke satu tempat yang saya sangat berat untuk tinggalkan.

 

Alhamdulillah, hari ini saya dapat berkongsi sebahagian pengalaman selama 12 hari berada di tanah suci….bahagian bumi yang Allah berkahi . Ia adalah satu perjalanan dari bahagian hidup yang saya sukar untuk lupakan. Terasa terlalu istimewa hidup saat itu. Walaupun ia adalah peristiwa yang sudah dua bulan bulan berlalu, namun masih bergetar ingatan apabila teringat pengalaman disana. Ingatan yang masih segar dengan kesan emosinya. Apa yang saya mampu tulis disini sama sekali tidak persis seperti apa yang dilalui. Tidak mungkin dapat digambarkan tepat dengan kata-kata melainkan ditempuh sendiri perjalanan itu. Ia antara Allah dan saya…..

 

Bagi mereka yang melaluinya, mungkin mereka dapat merasakan sebagian perasaan penulis…perasaan terharu, sayu, sebak, kagum, sedih, malu, insaf….kesemuanya bercampuk-aduk pada sekeping hati yang cuba mengabdikan diri pada Tuhan-nya.

 

Berikut adalah sebahagian catatan semasa mula mulakan perjalanan sebagai salah seorang daripada jemaah umrah Mitra Kembara:

 

Esok Sabtu dan kami dijadualkan bertolak ke Jeddah pada pukul 1.10 petang. Saya mendapat sms untuk berkumpul di KLIA pada pukul 9.00 pagi. Hari itu, saya sukar untuk memberikan penumpuan pada kerja di kilang.  Jiwa saya sudah tidak ada di situ. Yang ada hanyalah jasad yang bekerja seperti robot yang tiada hati.  Disebabkan oleh kehabisan cuti, saya hanya dapat pulang ke Bangi pada malam Jumaat. Saya berdoa agar tidak diberi kerja yang perlu disiapkan pada saat-saat akhir seperti yang selalunya berlaku pada waktu saya ingin bercuti jauh. Alhamdulillah, kerja saya berjalan lancar. Tidak ada isu pada saat akhir. Malam itu, Welma menghantar saya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Penang. Sepatutnya penerbangan saya malam tu (Penang- LCCT) dijadualkan berlepas pada pukul 9.00 pagi….tapi ia hanya berlepas lebih kurang 1 jam 20 minit selepas itu. Saya berulang-kali harus meperingatkan diri agar bersabar dan terus bersabar. Saya akan menyesal jika perjalanan ‘ibadah’ saya terganggu kerana saya tidak bersikap sabar.

 

Alhamdulillah, hikmahnya malam itu saya terjumpa kawan saya bersama suami yang baru dinikahinya seminggu. Sudah berbulan-bulan saya tidak jumpa kawan saya dan malam itu Allah beri peluang untuk kami mengemaskini cerita masing-masing 😉

 

Akhirnya saya tiba di rumah pukul 1.30 pagi esoknya dan mengemaskan semula beg saya untuk perjalanan seterusnya. Alhamdulillah, saya tidak mengantuk dan tetap rasa cergas pada pagi itu.

 

Saya sekeluarga tiba awal di KLIA. Melihat Ila, Qama dan Saad di sana, saya masih rasa seakan tak percaya bahawa saya sedang mulakan perjalanan untuk berumrah. Dalam hati, saya memendam  suatu perasaan bimbang…..bimbang kerana saya masih belum sah lagi mengerjakan umrah. Kata-kata yang saya pernah baca itu berulang-ulang dalam ingatan,  “One has to be invited by God, because the Ka’abah is His House”

 

Akhirnya setelah menunggu, tiba saatnya kami perlu mengucapkan salam perpisahan pada keluarga masing-masing. Tiba-tiba perasaan saya menjadi sangat sebak meninggalkan ibu abah dan adik-adik. Inilah perjalanan saya yang paling jauh daripada keluarga.

 

 

Madinah al Munawaroh

 

Jemaah kami singgah di Madinah dulu selama lebih kurang empat hari sebelum bertolak ke Mekah. Berumrah dari Madinah al Munawaroh adalah mengikuti jejak Rasulullah untuk melakukan ibadah umrah dari Madinah ketika beliau sudah menjadi penduduk Madinah al Munawaroh.

Ketika tiba di Madinah daripada Jeddah, keadaan kesihatan saya kurang baik. Tekak saya terasa perit, perut saya sakit dan kepala saya pening. Mungkin kerana terlalu lama duduk dalam kapal terbang dan bas, pinggang saya pun terasa sangat sengal sehingga sukar untuk saya berdiri lama atau berjalan dengan selesa. Saya ingin menikmati Madinah terutamanya pada hari pertama itu, tapi keadaan ‘diri’ saya membuatkan saya hampir kehilangan perasaan nikmat itu.  Saya menjadi orang yang ‘tiada perasaan’.

 

Setibanya kami di hotel, kami singgahkan dulu barang-barang dan beg kami di lobi hotel. Bilik yang ditempah masih belum bersedia untuk dimasuki. Maka Ustaz Halim (ketua  rombongan) menyuruh kami buat khidmat diri dan terus ke Masjid Nabawi. Masjid yang dibina atas asas taqwa….

 

“Solat di Masjidku ini lebih utama 1000 kali daripada solat di tempat lain, kecuali di Masjidil Haram” (HR Bukhari)

 

Menghampiri Masjid Nabawi, langkah saya semakin cepat. Terik matahari pada waktu tengah hari itu membuatkan Masjid Nabawi yang dikelilingi jubin putih kelihatan memancar-mancar dari jauh.  Hati saya meraikan keberadaan saya di Mesjid Nabawi.

Picture 031

Akhirnya saya disitu!….di dalam tempat yang saya cuma sering lihat bertahun-tahun selama ini di dalam buku, bingkai gambar, kalender dan TV,……alhamdulillah,  indahnya nikmat penglihatan.

 Picture 019_2

Solat kami yang pertama di Mesjid Nabawi adalah Zuhur. Di pintu masuknya yang kelihatan gagah dan kukuh, saya hampir terduduk menangis kerana tidak dibenarkan masuk oleh ukhti penjaga pintu Masjid Nabawi. Saya dihalang masuk kerana membawa kamera. Kamera tanpa bateri yang saya sengaja bawa masuk kerana risau ditinggalkan di lobi hotel.

 

Dalam keadaan itu, seorang perempuan Arab menghampiri saya…menyatakan sesuatu  sambil memperlihatkan wajah yang prihatin. Mungkin ia sedang cuba menyatakan bahawa saya boleh menyorokkan kamera saya di sebalik telekung solat saya yang labuh itu. Saya cuba masuk sekali lagi tapi penjaga itu tetap menghalang saya masuk. Bahkan kali ini, ia dengan tegas memandang saya dan berkata “ amanah!”. Hati saya benar-benar terasa luluh. Saya benar-benar ingin masuk. Saya berdoa kepada Allah. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat juga masuk dengan bantuan kawan-kawan. Barangkali itu mungkin teguran Allah pada saya diatas mood sugul saya pada sebelumnya…barangkali ia untuk buat hati saya terasa berkeinginan kuat pada Masjid Nabawi.

 

Selepas itu, saya masih mengalami beberapa pengalaman yang agak sukar unuk melepasi pintu Mesjid Nabawi daripada perhatian penjaga pintu. Dikala teman-teman saya boleh melepasi pintu dengan senang, saya selalunya menjadi orang yang akan ‘ditangkap’ penjaga pintu. Saya sampai pasrahkan diri di pintu sambil ukhti penjaga pintu itu memeriksa beg saya yang hampir saya kosongkan untuk mudahkan pemeriksaannya. Jika ada ramai orang berebut untuk masuk, saya masih tetap berdiri di belakang untuk tunggu diperiksa walaupun saya ada peluang untuk menyusup masuk melepasi pintu dicelah-celah ramai orang. Setelah beberapa pengalaman, saya tidak berani lagi buat jalan pintas sendiri. Saya mungkin ditakdirkan untuk menjadi orang yang harus ikut peraturan. Mungkin itu tarbiyyah daripada Allah pada saya supaya menjadi orang yang berdisiplin.

 

 

Raudhah

 

 

“Antara rumahku dan mimbarku adalah taman (raudhah) dari taman-taman syurga. Dan mimbarku di atas kolam” (Sahih Bukhari)

 

Alhamdulillah, kami diizinkan Allah untuk masuk ke Raudhah 4 kali. Raudhah dibuka untuk jemaah wanita hnaya pada waktu tertentu iaitu selepas Subuh, Zuhr, Asar dan Isyak.  Waktu selebihnya adalah untuk jemaah lelaki. Tidak semua jemaah wanita boleh masuk ke Raudhah sekaligus. Kami perlu berkumpul mengikut negara dan kami akan dibawa masuk ke Raudhah setelah berhenti di beberapa check-point.

 

Ia tempat yang menjadi fokus utama jemaah wanita sejurus apabila ia dibuka. Maka, ia menjadi tempat yang sangat sesak walapun setelah dibahagikan mengikut giliran negara masing-masing. Apabila kaki dijejak kedalam kawasan Raudah, kebiasaannya susah untuk bergerak kehadapan, kebelakang dan ketepi. Malah, untuk kaki kekal berpijak disitu pun perlukan kekuatan fizikal yang kuat. Lalu bagaimana kita ingin mendirikan solat dan berdoa disitu? Maka, pelajarannya disitu ialah usahlah mengharap semata-mata pada kekuatan diri yang terbatas. Berdoa dan mengharap pada Allah yang Maha Berkuasa atas setiap segala sesuatu. Walapun tempat itu terlalu sesak sehinggakan manusia seperti tersembur-sembur keluar daripada kawasan Raudhah dan kita pula masih berada jauh diluar kawasan Raudhah, kuatkan pengharapan pada Allah kerana tidak ada yang mustahil bagiNya. Itula pelajaran penting yang saya dan teman-teman lain simpullkan. Yang penting, kita perlu berusaha,luruskan niat dan tawakkaltu’alallah.

 

Kali pertama saya tiba di depan Raudhah…saya melihat dan terus melihat dengan terpinga-pinga saja susasana penuh sesak orang di dalam Raudha. Tidak tahu bahagian celah mana yang saya boleh masuk untuk bersolat. Kelihatan Raudhah sangat sukar ditembusi. Para jemaah seolah-olah membina kubu teguh dengan badan mereka sendiri. Tapi apabila mengingatkan diri bahawa Allah tentu akan bagi jalan, keyakinan masuk ke ruang hati saya.

 

Sambil menunggu, Ila mengalihkan perhatian saya daripada pemandangan yang sesak ke suatu sudut di tepi kiri. Subhanallah, saya hampir terlupa! Disitu terletak Makam Rasululah SAW, juga Makam Saidina Abu Bakar dan Makam Saidina Umar Al-Khattab. Jantung terasa berdegup lebih kencang kerana saat itu, saya terasa begitu dekatnya keadaan fizikal saya dengan Rasulullah SAW. Syahdu dan sebak mengingati kasih sayang Rasullah SAW dan pengorbanan Sahabat yang menjadi hamba-hamba kesayangan Allah.  

 

Karpet hijau Raduhah yang mebezakan kawasan Raudhah dan kawasan baki Masjid Nabawi yang berkarpet merah membuatkan saya  teruja apabila berjaya melangkah kedalam Raudah. Saya seperti tidak percaya yang saya dan teman lain akhinya diiizinkan Allah untuk masuk ke Raudah yang sesak. Dengan izin Allah, saya berjaya melangkah masuk ke kawasan Raudhah yang kelulasannya sangat kecil jika dibandingkan dengan nisbah manusia yang ingin masuk ke dalamnya. Sejurus selepas masuk Raudhah, saya cuma mampu berdiri senyap. Terpinga-pinga kerana tidak tahu bagaimana untuk solat. Saya tidak boleh bengkok kehadapan. Antara saya dan orang di depan, di belakang, di kiri dan di kanan adalah sentuhan badan ke badan. Alhamdulillah, ada teman-teman ada disisi untuk membantu. Apabila orang di depan bergerak satu tapak ke depan, Ila bagi isyarat untuk solat. Alhamdulillah, tiba-tiba, orang diseliling bergerak hingga ada ruang yang cukup untuk kami berdoa dan solat. Qama dan Saad berjaga ditepi kami agar kami dapat solat dengan tenang tanpa ditolak oleh orang ditepi.Ketika kami solat, keadaan yang riuh seolah-olah bertukar menjadi tenang!. Sejurus kami beri salam, tiba-tiba keadaan menjadi riuh semula. Kami ditolak hingga posisi kami ketika itu berada sangat dekat dengan pintu makam Rasulullah Saw. Dekatnya dengan Makam Rasulullah SAW buat hati saya rasa sebak sungguh. Perasaan yang terasa begitu hampir dengan Rasulullah SAW yang belum pernah saya rasa sepanjang hidup. MasyaAllah, itu kali pertama saya terasa amat dekat sungguh dekat Rasulullah Saw hingga terasa malu berada di depan makam baginda.

 

Pengalaman kedua di Raudhah juga antara ingatan yang tidak dapat dilupakan. Setelah pengalaman kali pertama, kami terus mempraktikkan pengajaran untuk mulakan solat apabila ada sedikit ruang. InsyaAllah, jemaah di sekeliling yang saling menghormati akan beri ruang untuk solat. Kali pertama angkat takbir untuk solat, keadaan sangat sesak. Perlahan-lahan susana yang gamat menjadi hening. Luarbiasa! Terasa sangat terharu dengan kelapangan yang Allah berikan. Keadaan Sangat tenang untuk solat. Malah setelah beri salam tahiyat akhir, keadaan masih tenang dan ada peluang untuk teruskan solat lagi dalam keadaan tenang luarbiasa itu. Hati ingin terus bersolat tapi apabila memikirkan masih ramai yang menunggu peluang untuk masuk, maka dipendekkan solat dan doa. Sambil keluar sambil doa. Mudah-mudahan Allah menerima solat dan memperkenankan doa-doa kami. Ameen.

 

Raudhah adalah diantara detik-detik indah dimana saya dan teman lain merasa perhatian Allah pada hambaNya sangat segera. Diketika diri sudah tiada daya dan berserah diri padaNya, Allah segera menjawab dengan menghulurkan pertolongannya.

” Ya Allah Yang Maha Pemurah, kami ingin menjadi hambaMu yang benar-benar bersyukur. Izinkan kami menjadi hambaMu yang mencintaiMu lebih dari apa pun…kerana hanya bila berdekat denganMu sajalah, maka kami beroleh nikmat ketenangan”.  

bersambung kemudian insyaAllah….

Advertisements