Alhamdulillah, kami (saya ,Basmin) bersama 2 orang sahabat kami iaitu Qama dan Saad telah tiba di tanah air dari kembara Umrah di Masjidil Haram dan Madinah. Dan rasa syukur tak terhingga kami panjatkan pada Ilahi, kerana menerima kami sebagai tetamuNya.

MADINAH….KAMI DATANG KEPADAMU

Tidak tergambar perasaan kami ketika tiba di Jeddah airport untuk ke Madinah…perasaan rindu pada Rasulullah SAW membuak-buak. Benar-benar ingin menjejakkan kaki ke bumi yang bercahaya, Bumi yang pertama menerima dakwah Ilahi dari Rasulullah SAW ketika masyarakat lain menolak dan menentangnya.

Sepanjang perjalanan selama lebih kurang 7 jam dalam bas dari Jeddah ke Madinah, kami tidur lena dan mengerekot menahan sejuk aircond bas. Bila sampai di suatu masjid (lupa pula namanya) kami bersolat subuh. Sejuk sangat masa tu. saya pula hanya memakai light jacket. Jeles tengok min pakai sweater tebal dan Qama pakai winter jacket.

Dalam pukul 6.30pagi kami tiba di Madinah. Bas melalui perkuburan Baqi’, tempat syuhada’ bersemadi sejak Perang Badar. Sehingga hari ini tanah perkuburan Baqi’ masih digunakan.

 Berbahagialah siapa yang disemadikan disini kerana syafaat nabi menanti bagi setiap penghuni Baqi. Penghuni Baqi juga akan menjadi golongan pertama yang akan dibangkitkan dari kubur masing-masing pada hari kiamat.

Oleh kerana hotel masih belum boleh check in, Ustaz menyarankan kami dhuha dan zuhur di Masjid Nabawi dulu. Dan ketika itu, Raudhah dibuka untuk muslimat. Ya Allah, fikiranku teringat pada saat-saat aku ke Raudah bersama mak dulu. Bagaimana kami berlari menuju Raudah. Nikmatnya ketika dapat solat 2 rakaat (walaupun tergerak sana sini) hanya Allah yang tahu. Dan di situ juga lah terdapatnya Makam Rasulullah SAW dan 2 sahabat agungnya, Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab.

Seusai solat tahiyatul masjid di waktu dhuha, kami beriktikaf sejenak. Saya dapat melihat sahabat-sahabat menahan air mata…air mata syukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi, masjid Nabi SAW..kehadirannya dirasakan. Ganjaran solat di Masjid Nabawi adalah 1000x berbanding solat di tempat-tempat lain. Saya juga rasa seperti di awang-awangan seketika, betulkah aku di sini lagi. syukur…syukur…moga Allah buka pintu hati kami untuk menuju redhaNya sentiasa. Bukan saat ini sahaja.

 TAMAN-TAMAN SYURGA…

 P4120050

 Selepas itu, kami menuju Raudhah mengikut laluan yang telah dibuka. Raudhah sebenarnya terletak di bahagiaan solat lelaki, dan hanya dalam 3 kali dibuka setiap hari untuk kaum Muslimat iaitu selepas Subuh, antara Zuhur dan Asar dan selepas Isya’.

Sampai di sana, orang cukup ramai. Cukup ramai hamba-hamba Allah berlumba-lumba mendapat tempat di Raudhah.

Raudhah merupakan ‘taman-taman syurga’ di dunia, dikatakan taman-taman syurga berada di atasnya, seperti hadith dari Rasulullah SAW. Raudhah merupakan antara tempat-tempat mustajab berdoa.

 “Diantara rumahku dan mimbarku adalah taman dari taman-taman syurga, dan mimbarku ini ada diatas telagaku” (Bukhari, Muslim)

 Setelah dibenarkan ‘maju’ ke Raudah oleh penjaga masjid di check point yang disediakan untuk kami (dari Indonesia dan Malaysia), Alhamdulillah, kami berjaya meloloskan diri masuk ke dalam Raudah. Bila lihat karpet hijau (tanda kawasan Raudah), antara percaya dengan tidak kami telah berjaya menjejak kaki ke situ. Kami melihat Makam Rasulullah SAW di kiri kami…rasa sayu dalam hati tatkala mengucapkan salam dan selawat ke atas Rasul junjungan kami. Saya terasa Rasulullah SAW memandang kepada kami ketika itu dan terasa betapa kasihnya Baginda kepada umatnya.

 

Dilihat jumlah orang, logiknya kita terasa mustahil untuk menapak, apatah lagi untuk solat. Tapi Allah Maha Berkuasa, ruang sesempit itu dengan relatif manusia yang sangat ramai berpusu-pusu, semuanya insyaAllah pasti mendapat bahagiannya. Hanya perlu sabar, dan paling penting doa pada Allah bagi ruang pada kita. Alhamdulillah…kami dapat solat 2 rakaat dengan berganti-ganti. 2 orang solat, 2 orang berjaga. Ruang sujud yang sempit, terasa begitu nikmat! Terasa bahagia dengan kurniaan Allah Yang Maha Pengasih

 Begitulah separuh hari kami di sana….tunggu cerita yang lebih detail dari sahabat saya Basmin =)

Advertisements