Terasa badan basah berpeluh-peluh dalam bilik berhawa dingin. Otak saya bekerja keras untuk menjawab pertanyaan soalan bertubi-tubi daripada seorang senior technical staff member. Saya yang datang ke bilik dia meminta pandangan tentang rekabentuk layout. Namun dia terlebih dahulu soal saya kembali, menguji tahap kedalaman ilmu saya berkaitan soalan yang saya tanyakan pada dia. Saya memang sudah tahu sikapnya ni. Walaupun dia yang minta saya  untuk buat suatu kerja, namun dia tetap akan soal dulu tentang  kedalaman ilmu saya sebelum layak selesaikan tugasan tersebut. Dia antara banyak orang yang saya perlu bersedia dari segi hujah teori sebelum didekati atau mendekati. Bukan senang nak memuaskan hatinya walaupun kerja asal saya sepatutnya siap. Saya perlu sentiasa ingatkan diri agar ikhlas dan ini bukan sesuatu yang senang apabila saya lebih mudah terasa tertekan dengan apa yang telah berlaku.

 

Seminggu yang berlalu ini terasa sangat panjang bagi saya. Setiap hari balik kerja, fikiran saya akan penat, tapi sebenarnya jiwa saya terasa lebih penat. Motivasi saya jatuh sikit-sikit…perlahan-lahan semangat saya jatuh setiap hari. Kemudian apabila datang kerja pada pagi hari, jiwa saya kembali penat apabila membaca emel tentang mereka yang memberi komen tentang kerja saya. Saya rasa terlalu penat tapi saya tidak boleh berehat. Simulasi yang saya lakukan telah menunjukkan ‘improvement’ dan boss2x saya semuanya mahukan ‘kejayaan’ ini verified dalam ekperimen. Projek ini akan berterusan sehingga ke tahun depan, san ini juga bermakna saya perlu berurusan dengan pelbagai ragam orang.

 

Saya tak pernah sangka kerja saya di kilang ini akan menjadi susah begini. Saya tidak banyak masa untuk belajar. Saya perlu belajar cepat-cepat dan selesaikan tugasan yang saya kurang arif dalam masa yang sekejap. Disini, wujud cabaran kerja dari segi ‘ilmu’. Apa saja yang saya ingin lakukan atau telah lakukan perlu dijawab berdasarkan teori dan bukti data. Kedua-dua faktor ini akan buat orang mudah yakin dengan saya dan sekaligus menamatkan perdebatan. Ya, mungkin sebenarnya saya rasa tertekan dari segi kerendahan ilmu yang saya ada. Tertekan dengan keadaan kerja yang sentiasa perlukan diskusi dan debat. Tertekan hingga terasa lesu dan layu.

 

Saya rasa tak sanggup lagi menahan emosi hingga saya balik kerja awal Jumaat lepas. Sebenarnya, saya menghitung-hitung waktu untuk balik sejak datang kerja awal pagi tu. Kerja saya belum siap, tapi saya rasa tak sanggup lagi untuk bekerja di ofis. Saya nak lepaskan diri dari segala isu kerja di ofis dan ingin berehat dengan tenang. Saya tidak mahu terus-menerus jadi lemah begini. Saya ingin lalui semua ini dengan sukses.

 

Lama saya duduk diam di rumah…berfikir sambil cuba memujuk diri. Saya ingin mengorek motivasi dalam diri untuk membangkitkan kekuatan bagi menghadapi semua ini. Masih ada niat untuk pergi kerja pada Sabtu dan Ahad tapi saya membatalkan niat saya. Sebaliknya, saya menghabiskan masa dengan ziarah akhawat dan adik saya. Alhamdulillah, borak-borak saya bersama akhawat sepanjang cuti dua hari ini memberi saya semangat yang baru. Mereka mengingatkan saya kepada satu tujuan yang saya telah lupa.

 

 

 

Saya telah lupa dengan satu pelaburan yang saya niatkan semasa membuat keputusan untuk bekerja jauh di sini. Suatu ketika dulu semasa menghadiri pembentangan perancangan strategik yang mensasarkan syariat Islam ditegakkan di Malaysia menjelang 2020…penceramah bertanya kepada kami peserta berkenaan di ruang mana kami ingin menempatkan diri pada tahun 2020.

 

Waktu itu, saya masih seorang pelajar yang sedang berhempas-pulas untuk menyelesaikan pengajian. Saya menjawab di dalam diri bahawa saya ingin menjadi muslim yang alim di dalam bidang ilmu yan saya ngaji ini. Saya berdoa agar diberi pekerjaan yang akan menambah kepakaran saya dalam bidang ilmu ini. Saya berdoa agar diberi peluang bekerja dengan orang –orang yang arif dalam bidang ini.

 

Itu niat saya 11 bulan yang lalu. Sekarang, saya telah diberi peluang itu. Saya telah bekerja dalam bidang yang sama dengan pengajian saya dulu dan saya bekerja dengan orang-orang yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Saya telah lupa tentang niat awal saya ini. Jazakumullahukhair kepada sahabat-sahabatku yang mengingatkan tentang tujuan hidup yang terunggul…..

 

-Hidup bagi mencari bekalan unuk ke Jannah!-

 

Ye, saya belum punya banyak harta untuk disedekahkan. Saya tiada anak untuk mendoakan. Tapi saya ada sedikit ilmu. Maka saya ingin bersabar dan bangkit. Moga hasil kajian ini menjadi sukses dan boleh dimanfaatkan. Jika terealisasi, maka insyaAllah ia menjadi pelaburan saya yang berterusan jika saya meninggalkan dunia ini. Saya ingin meninggal dengan adanya warisan ilmu. Mungkin inilah antara peninggalan ilmu yang boleh saya usahan…

 

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan),dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)     (A-li’imraan 200)

Demi sesunguhnya, kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya)  kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang sabar:        (Al-Baqarah 155)

: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”        (Al-Baqarah 156)

      

 

 

Advertisements