“Betul, diorang tengah makan-makan kat atas. Kenapa mereka macam tu?” tanya kawan saya yang beragama Buddha. Dia kehairanan saudara-saudara ‘muslim’ saya tengah makan-makan di bulan Ramadhan. Kawan saya ini pun tidak akan makan di dalam bilik post-grad kami ketika bulan puasa kerana menghormati kami yang sedang berpuasa. Bahkan, jika ada diskusi kumpulan, dia akan pastikan diadakan di luar waktu solat. Dia pernah tanyakan saya tentang beberapa soalan tentang Islam:

 

Kenapa orang Islam buat serangan di Bali yang korbankan orang awam?

 

Kenapa orang Islam pergi juga ke Mekah walapun selalunya ada kejadian umat Islam mati jatuh dipijak-dipijak.

 

 

Soalan-soalan-nya ini secara tak langsung  memberitahu saya bahawa dia mengambil peduli tentang isu umat Islam.

 

Sebenarnya, saya akui bukan senang bagi saya hendak menjawab persoalan yang ditimbulkan kerana memerlukan memerlukan jawapan yang sumbernya sahih. Kadang-kadang, soalannya juga melibatkan isu khilaf pandangan ulama’. Namun saya sedari, ia tanggungjawab saya untuk mencari jawapan jika saya tidak dapat berikan pada waktu itu.

 

Saya pun sebenarnya keliru juga dengan agama kawan ‘muslim’ saya yang makan-makan di bulan ramadhan. Mereka berasal dari negara lain. Maka pada awal perkenalan, saya fikir cara mereka yang agak janggal dalam cara beribadah dan pergaulan adalah disebabkan oleh berlainan budaya atau mazhab lain. Tapi, lama-kelamaan saya menjadi musykil. Takkan dalam perlaksanaan ibadah wajib seperti puasa dan solat ada perbezaan hukum wajib.

 

Namun, saya sendiri tidak tahu perkara lain tentang identiti diri kawan ‘muslim’ kami ini yang mengatakan dia adalah muslim selain ucapannya yang menyebut insyaAllah dan alhamdulillah. Tapi kadang-kadang dia akan menyumpah ‘Jesus’ pula apabila marah. Saya keliru. Biasa terjadi, orang non-muslim merasa jauh dari Islam kerana akhlak umat Islam. Bahkan media Barat yang suka memburukkan Islam tu sendiri kadang-kadang di’tepat’kan ke’sahihan’nya melalui akhlak ‘buruk’ umat Islam.

 

Berbalik kepada pertanyaan kawan non-muslim saya tentang saudara-saudara ‘muslim’ yang tengah makan-makan itu. Saya menjadi terdiam dan berpusing fikiran saya untuk mencari jawapan terbaik. Akhirnya kawan saya ni pun menjawab soalannya sendiri, “ saya faham…orang muslim pun ada banyak tingkatannya kan. Maksud saya, tak semua orang muslim taat pada agamanya kan”. Saya jadi malu. Ia juga peringatan untuk diri saya sendiri.

 

Akhlak seorang muslim sebenarnya sentiasa diperhatikan terutamanya disaat media-media barat sering memberi imej buruk pada agama yang membawa rahmat ini. Jika dilihat dari kacamata kebaikkan, sebenarnya secara tak langsung ia memberi publisiti percuma tentang Islam dan menyebabkan orang-orang yang curiga untuk mengkaji tentang kesahihan imej buruk yang digembur-gemburkan media Barat. Maka, ini memberi peluang yang terbuka luas untuk kita yang muslim sebarkan jaringan pengislahan.

 

Apa sebenarnya asas-asas berdakwah? Berikut adalah catatan nota yang disampaikan semasa program ‘dawah non-muslim’ tempoh hari:

 

1) Ikhlas

 

Dakwah kita hanya kerana mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Kita harus memberi tanpa mengharap pembalasan dan penerimaan. Bahkan, kita harus tetap tenang jika dicaci =)

 

2) Hikmah

 

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan mau’idzah hasanah (pengajaran yang baik), dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk” (An-Nahl:125)

 

Cara berdakwah lebih penting daripada bahan dakwah. Orang tidak akan menunjukkan minat kepada kita sekiranya kita tidak menunjukkan minat kepada mereka.

 

3) Diatas kebenaran

 

Apa yang dihujahkan seharusnya atas hakikat kebenaran yang bersumber dari Al-Quran dan Sunnah. Harus jelas kebaikkan dan kemungkarannya.

 

4) Tidak ada paksaan

 

Kita hanya berfungsi untuk menyampaikan kebenaran. Hidayah itu mutlak hanya daripada Allah.

 

“Sungguh, engkau (Muhammad) tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk”. (Al-Qasas: 56).

 

5) Cinta dan Belas Kasihan

 

Mulakan dakwah dengan adanya perasaan ini. Hadirnya perasaan ini membuatkan kita mampu bersabar dengan mad’u dan terus-menerus tegar mendakwahinya.

 

“Sesunggunya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaum kamu sendiri. Berat terasa olehnya penderitaanmu. Sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu,  amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-oang mukmin” (At-Taubah:128)


“Maka disebabkan rahmat dari Allah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah merka dan mohonkanlah ampunan untuk mereka, dan bermesyuaralah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakllah kepada Allah. Sungguh, Allah mencintai orang yang bertawakkal” (Ali-Imran : 159 )

 

Seharusnya kita bersabar dalam melaksanakan kebaikkan. Nasihat yang diucapkan harus datang dari hati yang ikhlas ingin menegur. Jika nasihat itu tidak dicemari dengan kemarahan yang mengikut perasaan, berkemungkinan telinga yang dinasihati itu mendengar sebagai leteran dan tidak sampai masuk ke hati…

 

“Hanya hati mampu menyentuh hati. Maka hati yang penuh kasih-sayang akan memasukkan kasih-sayangnya ke dalam hati yang lain. Begitu juga sebaliknya, hati yang penuh kemarahan juga akan turut berjaya menumpahkan kemarahnnya pada hati yang ditempiaskan kemarahannya”

 

“Ya Allah, dekatkanlah kami kepada CintaMu. Jadikanlah kami hamba yang sentiasa khusyuk mengingat kepadaMu”

 

Advertisements