From: Min
Sent: Wednesday, June 23, 2010 10:34 AM
To: ‘welma la’anda’; istiqamah subuki
Subject: RE: salam

ram tentunya dalam flight skrang ni…on de way nak pi madinah…huhuhu, sediahnyaaa min kena tinggal kat m’sia…sedihla

Qama, baru2x ni min balik dan tgk album yg abah min baru cuci…dah ada gambar kita kat gua hira’…hehehe. InsyaAllah min try ambik soft copy gambar tu ye :)…

tiba2x terasa ingin sangat2x nak berada di depan ka’bah..duk belakang Maqam Ibrahim (tempat yg kita selalu duk rehat kat Masjidilharam :))..

welma, klau la akak ada duit lebih, ingin sangat akak ikut welma ke sana ramadhan ni….

———————————————————————————————-

Perasaan rindu yang sentiasa terbangkit ketika diingatkan tentang Madinah dan Makkah. Takkan padam selamanya insyaAllah kerinduan ini…

Jiwa terasa  sayu pada hari terakhir kami  di Madinah. Terasa bayangan rindu sudah mula berputik biarpun saya belum lagi berangkat meninggalkan Madinah. Hati sudah tertarik mencintai Madinah. Perlahan-lahan, masa yang berlalu selama empat hari dibumi penuh keberkatan itu telah buat saya menjadi antara mereka yang telah terjatuh cinta dengan Madinah. Sukar dihuraikan sebab kenapa hati ini terpaut dengan Madinah.

Pandangan saya asyik tertumpu melihat ke luar tingkap ketika bas mula meninggalkan Madinah. Saya ingin mengingat tempat suci ini agar saya boleh rakamkannya di dalam ingatan secara persis untuk diingat semula. Tidak tahu bila lagi saya boleh kembali semula.

Memulakan perjalanan ke Mekah, perasaan bercampur baur ketika bumi Madinah semakin menjauh dari penglihatan. Walaupun terasa sayu, tapi dalam waktu yang sama, sudah ada terbangkit perasaan teruja apabila bas menyulusuri perjalanan menuju Makkah Al-Mukkaramah, bumi yang menjadi tempat kelahiran kekasih Allah, Nabi yang  telah membawa rahmat ke seluruh alam.

“Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada tuhannya) ialah Baitullah yang di Makah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” (Ali Imran: 96)

Kami berhenti di Masjid Miqat Bir Ali untuk melafazkan niat untuk umrah. Jemaah yang berumrah dari Madinah ke Mekkah akan melafazkan niat disini.  Bir Ali atau lazimnya dipanggil Abyar Ali bermakna telaga yang banyak di dalam bahasa Arab. Disinilah Rasulullah SAW pernah melafazkan miqat (lafaz niat umrah) di bawah sepohon kayu dan tempat ini telah dibuat Masjid iaitu Masjid Bir Ali.

 

Sepanjang perjalanan ke Mekkah, ustaz mengingatkan kami agar ucapan talbiyiah sentiasa dilantunkan. Disunatkan bertalbiyah setelah umrah diniatkan

 Jiwa benar-benar terasa tersentuh saat mengucapkan talbiyah.

“labbaikallahumma labaik,

hamba datang menyambut panggilanMu ya Allah,

hamba datang menyambut panggilanMu ya Allah”..

Terasa begitu kerdilnya dan hina diri ini. Saya menjadi sibuk dengan perasaan sendiri, “layakkah saya  dijemput masuk ke rumahNYA, sedangkan terasa sangat sedikit sekali beryukur kepadaNya”

Dalam kesibukkan melayani fikiran, perlahan-lahan mata saya tertutup dan tertidur…

Kami tiba di Makkah Al-Mukarramah lebih-kurang pada pukul sebelas malam, setelah lebih kurang tujuh jam perjalanan di dalam bas.

Kami check-in di Hotel Safa. Alhamdulillah, saya, Ila, Qama dan Saad dapat masuk satu bilik. Ustaz menasihatkan kami berehat sebelum meneruskan rukum umrah seterusnya. Saya tidak dapat tidur kerana khuatir akan lakukan kesalahan. Terlalu nervous. Ini bakal umrah saya yang pertama.

Lebih kurang pukul satu pagi, rombongan kami semua berkumpul di lobi hotel. Ustaz membawa kami berjalan ke arah Masjidilharam. Saya sudah menjadi senyap…ini perjalanan yang sangat istimewa dalam hidup saya, kemuncaknya akan sampai. Begitu istimewa sehingga saya boleh kenang semula perjalanan itu dalam ingatan saya sehingga ke hari ini. Jika tidak kerana kaki saya harus terus berjalan ke sana, saya mungkin sudah berhenti berdiri menikmati pemandangan di hadapan saya.

MasyaAllah, Masjidilharam kelihatan seperti dilimpahi cahaya . Ia seperti disuluh dan menyuluh cahaya sendiri di kegelapan malam… begitu bercahaya sehinggakan bangunan sekelilingnya kelihatan gelap dan kelam….

Tinggal beberapa langkah sebelum mendekat masuk  ke Masjidilharam. Hampir saya mahu berjalan pecut. Walaubagaimanapun, kaki saya masih sabar melangkah perlahan, tak dapat catch-up dengan kelajuan denyutan jantung.  Kami bergerak perlahan, ikut dibelakang ustaz. Terasa hati dimasuki cahaya kegembiraan saat melangkah masuk ke pintu Masjidlharam.

Akhirnya…ye akhirnya, saya benar-benar telah diizinkan Allah menjadi tetamu di rumahNya. Sebak memenuhi ruang hati. Terima kasih Ya Allah…

Dengan senyap,fikiran saya terus-menerus tertanya-tanya ,

“dimana Ka’bah? dimana Ka’bah?”…kami berjalan terus lagi. Hampir di setiap kawasan, ada orang di kiri dan kanan…kami berjalan lagi, belok dan berjalan lagi sehingga menuruni sebuah tangga pendek…

Benar-benar terasa ingin menangis syahdu saat pertama melihat Ka’bah. Mata sudah berkaca-kaca, menahan linangan air mata. MasyaAllah, indah, sangat indah! Sejujurnya, saya tidak pernah membayangkan Ka’bah sebesar itu kerana selama ini, saya melihat dari jauh, dari gambar visual sahaja….tapi kini di depan saya, Ka’bah kelihatan begitu besar, megah berdiri dengan selautan manusia bertawaf mengelilinginya.

Mata saya tidak dapat melihat ke arah lain…pandangan saya sudah terlekat disitu. Saat saya sedang menulis ini, saya masih dapat merasa emosi saya pada waktu itu, waktu dimana kali pertama saya melihat Ka’bah, secara langsung. Indah, tak mampu dihuraikan dengan kata-kata…

“Ya Allah, alangkah Maha PemurahnyaMu membenarkan aku sampai ke saat itu. Aku yang hina, penuh  dosa ini masih diterima olehMu”

Bagi mereka yang belum pernah pergi, pasti merinduinya biarpun belum pernah sampai ke sana. Bagi mereka yang pernah pergi, tentu lebih lagi  kerinduannya, menunggu saat dijemput Allah kembali …

Allah menjadikan hati-hati manusia merindui bumi Makkah dan mewajibkan hamba-hambaNya yang mampu agar mengunjunginya, dijanjikan pahala yang berganda dan juga memberi amaran daripada melakukan kejahatan ketika berada di dalamnya. Begitu hebat kemuliaan yang Allah telah beri kepada Tanah Haram Makkah.

 

bersambung insyaAllah…

About these ads